Minggu, 16 Mei 2010

BERSEDIA MENYAMBUT JENAZAH

Dua buah bas kerajaan Perak membawa sekitar 70 orang waris keluarga Laksamana berlepas meninggalkan Teluk Intan sebelum jam 8… Mereka yang menaiki kereta pula telah lebih dahulu berlepas. Bas sampai di Lumut sekitar jam 9, terus ke rumah OBJ Lumut untuh singgah dan makan-makan.



Sebelum itu, kami yang menaiki bas telah diberitahu bahawa kami tidak dapat menghadiri majlis sambutan jenazah daripada kapal KD Laksamana Muhammad Amin oleh ketiga-tiga cabang angkatan tentera Malaysia yang akan diadakan di dalam kawasan pengkalan tentera laut. Cuma waris serta hadirin menaiki kereta dengan pelekat VIP sahaja dibenarkan masuk… Yang lain harus menunggu di rumah OBJ sehingga majlis di pengkalan selesai.

Kemudian barulah bersatu kembali dengan rombongan membawa jenazah untuk ke kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.



Penulis pun berlegar-legar di perkarangan rumah OBJ sambil menikmati berbagai juadah yang terhidang, sempat berkenalan dengan beberapa orang waris sambil membuka cerita asal-usul keluarga Laksamana yang berkaitan dengan satu watak terkenal pertengahan abad

18 Masihi, seorang pahlawan Melayu yang dikatakan berketurunan Bugis, sangat digeruni penjajah dan dikenali sebagai Nakhoda Hitam… Dikatakan pernah bermaharajalela seluruh Nusantara menyerang kapal-kapal Belanda lalu digelar mereka sebagai Latata Ambralla (tidak tahulah apa maknanya), sebelum beliau “menumpukan” aktiviti di perairan Pulau Sembilan di Kuala Sungai Perak.



Walaupun pihak penjajah sibuk mewar-warkan beliau sebagi lanun dan pengganas yang perlu diburu dan dihukum bunuh, Nakhoda Hitam kemudian dijemput Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III (memerintah

1728-1754) untuk menjadi Laksamana yang menjaga perairan negeri, siap memakai gelaran tambahan Raja Mahkota yang mengandungi rahsia yang tersendiri.

Mungkin kerana Sultan kenal asal-usul mulia Nakhoda Hitam? Cerita kehebatan beliau menjadi legenda rakyat Perak yang sering dicampur-adukkan dengan satu lagi watak berkaitan yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor, orang yang diberitakan pernah membela buaya putih Sungai Perak ketika buaya itu masih sebesar tapak-tangan!



Penulis juga sempat bertukar sedikit maklumat salasilah keluarga dengan waris-waris yang baru dikenali, bagaimanakah bentuk hubungan antara kami, pangkat pakcik ke, makcik, berapa pupu dan sebagainya.

Seorang waris pun mengajak penulis ikut sama masuk ke pengkalan TLDM untuk menyambut kedatangan jenazah menaiki keretanya yang ada pelekat VIP. Orang mengantuk disorongkan bantal... Memang penulis teringin menghadiri majlis gilang-gemilang itu tetapi roti-jala serta ayam kari atas pinggan perlulah dihabiskan dahulu sebelum secawan kopi dicari untuk menyempurnakan makan pagi.



Dalam kemeriahan majlis makan dan perkenalan di rumah OBJ Lumut itu, kedengaranlah pengumuman, majlis di pengkalan akan bermula… Muncul juga satu pengumuman baru membuka halwa telinga, semua waris dijemput masuk! Maknanya, tidak perlu naik kereta dengan pelekat VIP, masuk naik bas kerajaan pun boleh…



Penulis yang belum selesai sarapan (sebab banyak sangat bercerita!) pun menolak dengan baik jemputan menaiki kereta sebaliknya bergegas menghabiskan juadah yang masih separuh pinggan. Selesai itu, baru minum kopi lalu menghisap rokok sebelum berjalan santai kembali menaiki bas kerajaan. Ketika itu, konvoi kereta-kereta berpelekat VIP sudah selamat masuk ke semuanya ke dalam pengkalan TLDM.



Lebih kurang 10 minit kemudian, bas kami pun bergerak ke pengkalan… Sampai ke pos pengawal, tiba-tiba pemandu bas diarahkan berpusing balik ke pekan! Entah kenapa, atas arahan siapa, telah berlaku lagi pertukaran rancangan… Balik ke rancangan asal, cuma kereta berpelekat VIP sahaja boleh masuk ke dalam pengkalan.



Maka terpaksalah penulis menunggu di luar sejam sementara mereka yang selamat lepas ke dalam menyaksikan acara penuh gemilang, dihadiri Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, Raja di Hilir, Raja Jaafar, pegawai-pegawai tertinggi tentera, agensi-agensi kerajaan dan dif-dif terhormat. Itulah, leka lagi… Tertinggal majlis begini penting kerana sibuk hendak menghabiskan sarapan dan menikmati sebatang rokok!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar