Minggu, 16 Mei 2010

DETIK-DETIK PERJALANAN

Khamis, 7 September 2006, setelah membeli sepasang baju melayu hitam berserta kain samping dan songkok bersesuaian di kawasan Masjid India, sampailah masa untuk bergerak ke Teluk Intan. Penulis bergegas ke perhentian bas Puduraya, ternampak pula sebuah pusat Internet lalu singgah untuk berhubung dengan kawan-kawan melalui sebuah forum kegemaran sehingga dilekakan, sampai tertinggal bas terakhir ke Teluk Intan. Itulah yang menyebabkan penulis terpaksa menaiki bas 8.30 malam ke Bidor lalu bermalam di masjid jamek sana. Rupa-rupanya, ini adalah satu isyarat kepada beberapa perkara yang akan berlaku kemudian. Keesokannya, baru penulis dapat menaiki bas ke Teluk Intan kemudian bermalam di rumah saudara di Kampung Batak Rabit. Di sanalah terletak kawasan permakaman keluarga Laksamana di samping sebuah masjid lama wakaf keluarga yang menjadi tempat-tempat wajib diziarahi penulis apabila bertandang ke Perak.



Sabtu, 9 September 2006, sampailah hari kembalinya jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim ke tanah-air. Penulis bangun awal 5 pagi untuk bersiap sebelum pergi ke lokasi bas kerajaan disediakan di rumah OBJ (Orang Besar Jajahan) Hilir Perak, Laksamana Datuk Mohd Amin Shukeri, cucu kepada almarhum Laksamana Muhammad Amin.



Geli-hati juga memikirkan aturan perhubungan keluarga sendiri… Salasilah keluarga Laksamana menunjukkan, pemegang jawatan Laksamana terdahulu, Laksamana Datuk Mohd Hamidi yang meninggal dunia tahun 1997 berpangkat bapa saudara kepada penulis sedangkan Laksamana sekarang berpangkat moyang walaupun umurnya baru hendak mencecah 70… Orang Kaya Menteri Paduka Tuan sekarang, Datuk Wan Muhammad Isa generasi ke-4 keturunan Ngah Ibrahim yang berumur 61 tahun pula berpangkat sudara tiga pupu dengan penulis!



Dalam pada itu, timbul sedikit kekesalan melihat akhbar-akhbar tempatan terlalu memperbesarkan peranan Ngah Ibrahim dalam susunan sosio-politik Perak disebabkan kekayaan materialistiknya yang melimpah-ruah sehingga tenggelam jasa-jasa Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin… Mungkin mereka lupa, perjuangan orang Melayu di Perak dahulu bukan dibakar oleh kekayaan dan wang ringgit? Malah sifat taksub mengumpul harta oleh sesetengah pihaklah yang memberi ruang untuk penjajah mengatur siasah sehingga Tanah Melayu tergadai.



Ramai lupa semangat patriotik orang-orang berjiwa kesatria seperti Laksamana lah yang dapat membangkitkan jiwa serta keberanian orang Melayu untuk bangkit menentang penjajah. Jikalau harta benda sahaja mahu dijadikan ukuran kebahagian hidup, bukankah lebih senang mereka bersekongkol sahaja dengan penjajah untuk merogol hasil-maksyul bumi Melayu yang kaya-raya tanpa perlu menyingsing baju mempamirkan lengan mengambil risiko mengorbankan nyawa?



Penulis teringat sebuah artikel akhbar The New Straits Times yang mengenengahkan temuramah dengan Laksamana Datuk Mohd Amin Shukeri. Ketika kebanyakan laporan lebih memperbesarkan cerita pihak Ngah Ibrahim sehingga “menggelapkan” nama kapal laut TLDM yang akan membawa jenazah sebagai KD Laksamana sahaja, bukan KD Laksamana Muhammad Amin, artikel itu mempamirkan sedikit kelainan dengan menyatakan pengaruh besar Laksamana Muhammad Amin di Perak yang menyebabkan beliau digeruni Inggeris.



Tidak seperti Ngah Ibrahim yang rekod hidupnya senang diperolehi untuk tatapan umum sehingga terbit beberapa buku memuji-muji kekayaannya, kisah hidup dan peranan Laksamana Muhammad Amin hampir hilang kesemuanya ditelan zaman. Kata Datuk Mohd Amin Shukeri, beliau terpaksa bergantung kepada catatan-catatan pendek dalam diari buruk almarhum bapanya Laksamana Mohd Ali Akbar bin Muhammad Amin untuk digunakan dalam temuramah dengan wakil akhbar.



“Saya tidak memiliki apa-apa catatan bertulis atau barang peninggalan milik Laksamana Muhammad Amin yang boleh dijadikan rujukan kerana segala-galanya telah dirampas Inggeris lalu dimusnahkan setelah datuk saya dibuang ke Pulau Seychelles,” beliau memberitahu.



Katanya lagi, pengaruh Laksamana begitu tinggi digeruni Inggeris… “Sebenarnya Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor (yang dikenali sejarah sebagai orang-orang yang bertanggungjawab membunuh J.W.W. Birch) berada di bawah naungan Laksamana Muhammad Amin! Tetapi Inggeris tidak dapat membuktikan keterlibatan Laksamana dalam pembunuhan itu, maka itu beliau dibuang ke Pulau Seychelles,” beliau menambah.



Menulis dalam ruangannya di akhbar The Star, bekas ketua polis negara, Tun Hanif Omar yang berasal daripada keluarga Maharajalela juga menyatakan pengaruh besar Laksamana Muhammad Amin.



Katanya, nama Laksamana sering disebut-sebut dalam diari Birch dan pesuruhjaya Inggeris, Frank Swettenham. Malah selepas peristiwa pembunuhan Birch, Swettenham mencatatkan bagaimana kononnya dia berjaya menyelamatkan diri daripada turut dibunuh dalam rancangan seterusnya. Pesuruhjaya Inggeris itu percaya, Laksamana Muhammad Amin melalui rancangan tertentu cuba memaksanya untuk mendarat di Bota, kalau mendarat di sana, sudah tentu dia akan dibunuh orang Melayu!



Menurut satu sumber pula, raja dan para pembesar Melayu telah ditipu Inggeris hidup-hidup sebelum dibuang ke Pulau Seychelles.



“Sebenarnya, Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim telah dijemput menghadiri majlis makan rasmi di atas kapal Inggeris secara hormat, tidak terfikir pun itu cuma penjajah untuk mengasingkan mereka dari tanah-air. Dalam sibuk melayan majlis itulah, sauh diangkat dan kapal pun bergerak… Sedar-sedar sahaja, mereka telah berada jauh di lautan lepas dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana dikelilingi ramai askar bersenjata!”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar