Minggu, 16 Mei 2010

NAKHODA HITAM DAN KERAMAT KUALA BIDOR

Sedikit kaitan antara Laksamana Muhammad Amin dengan watak legenda Nakhoda Hitam yang berkuasa di Perak pertengahan abad ke 18 telah disebut awal tadi, begitu juga kaitan mereka dengan watak purba penuh misteri yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.



Sebagai tambahan, biarlah disebut, Laksamana Muhammad Amin adalah generasi ke-5 keturunan Nakhoda Hitam sedangkan Nakhoda Hitam adalah cicit kepada Raja Bugis yang dikenali sebagai La Madu Salat atau La Madu Saleh. La Madu Saleh adalah bapa kepada seorang watak terkenal Bugis, Opu Tanderi Buring Daeng Rilaka dan Daeng Rilaka adalah bapa kepada Opu Lima Bersaudara, anak-anak Raja Bugis yang sangat terkenal dan digeruni di bumi Melayu abad ke 18 iaitu Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Kemasi dan Daeng Chelak. Daeng Celak adalah bapa kepada Raja Lumu yang menjadi Sultan pertama Selangor. Seorang lagi anaknya ialah Yam Tuan Riau Raja Haji, pahlawan Bugis yang sangat digeruni kawan dan lawan. Maka mengikut salasilah di atas, Raja Haji yang mangkat ketika menyerang Belanda di Teluk Ketapang tahun 1784 dan Nakhoda Hitam adalah saudara dua pupu.



Darah diraja Nakhoda Hitam mewarnai keturunan raja-raja Perak melalui perkahwinan Sultan Perak ke 18, Sultan Ahmaduddin Shah (memerintah 1792-1806) dengan cucu beliau, Che Pusa Puteh yang menjadi isteri pertama baginda. Perlembagaan negara Perak yang diguna-pakai sekarang menyatakan Sultan yang bertakhta mestilah daripada keturunan Sultan ke 18, maka hampir semua raja-raja Perak sejak itu memiliki titisan darah Nakhoda Hitam.



Walaupun banyak cerita lisan menyebut Nakhoda Hitam sebagai Keramat Kuala Bidor, kajian peribadi penulis menunjukkan mereka adalah dua watak yang berbeza tetapi memiliki titisan darah yang sama… Nakhoda Hitam hidup sekitar 300 tahun dahulu sedangkan Keramat Kuala Bidor bertapak di bumi Perak sebelum ianya beraja, kemungkinan besar sekitar 1,000 tahun dahulu, sebelum wujud kerajaan Samudera dan Pasai apalagi Melaka!



Maka itu, biar diperturunkan cerita mengenai Keramat Kuala Bidor seperti yang telah dinukilkan dalam buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti”…



Sedutan bab bertajuk “Dari Perlak ke Perak, Kisah Keramat Kuala Bidor”.



Mereka yang mengkaji sejarah lama Aceh pasti tahu nama Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan berkembar Samudera Pasai yang tersohor dalam sejarah Islam Nusantara. Jauh sebelum keSultanan Melaka wujud dan menerima Islam, baginda telah menjadikan kerajaannya sebagai pusat keilmuan, dakwah dan penyebaran Islam yang terunggul di rantau ini.Cerita mengenai Sultan ini pula diabadikan dalam Hikayat Raja-raja Pasai, kitab lama yang dianggap para pengkaji dan ilmuwan sebagai teks tertua dalam sejarah sastera Melayu.

Sementara makamnya di Aceh menjadi tumpuan ramai yang ingin menelusuri sejarah kegemilangan Islam dahulukala. Tetapi berapa ramaikah yang tahu baginda dan kerajaannya tidak akan wujud jika tidak kerana seorang hamba Allah yang pernah menetap di Teluk Intan dan dimakamkan di sana? Berapa ramai menyedari hubungan peribadi baginda dengan orang di Perak ini?Cuma, makamnya terletak terpencil di sebuah estet, bukan seperti makam Malikus Salih yang terserlah di Sumatera ditandai batu nesan Aceh, melambangkan martabat dan kebesaran pemiliknya. Ia sekadar dihiasi batu-batu sungai, cukup untuk memberitahu di situ bersemadi jasad seorang insan yang pernah wujud di mukabumi ini.



Apa yang menunjukkan pemilik makam di kuala Sungai Bidor ini bukan sembarangan orang adalah ikatan kain kuning pada batu-batu itu. Maka itu dikenali orang sebagai Keramat Kuala Bidor. Tersebutlah kisah, suatu masa dahulu di Sumatera, dua beradik berebut takhta.

Si abang yang lebih layak terkilan, sedih dicabar si adik yang berang. Lalu merajuk meninggalkan kerajaan, bersama isteri tersayang sehelai sepinggang. Mereka pun bersampan menyeberangi Selat Melaka. Masuk ke Sungai Perak, mendarat di Teluk Intan.



Di situlah duduk, mencari makan. Bercucuk-tanam,

menjala ikan.



Nenek kata pada zaman itu keSultanan Perak belum wujud lagi. Tidak tahu pula berapa lamakah dahulu cerita ini berlaku. Nama Teluk Intan pun belum wujud, begitu juga nama Perak dan Sungai Perak. Tetapi sudah ada penduduk di situ, sudah ada kampung kecil nelayan.



Tidak pasti pula asal-usul mereka, di bawah kerajaan mana atau naungan siapa. Kalau ikut sejarah rasmi, keSultanan Perak bermula tahun 1528 Masihi.



Maka cerita ini mestilah telah berlaku sekurang-kurangnya 500 tahun dahulu.Yang peliknya, nenek kata Keramat Kuala Bidor selalu berulang-alik berkebun di Bidor. Pergi selepas Zuhur, balik sebelum Maghrib. Sedangkan kalau naik kereta sekarang inipun memakan masa sejam dari Teluk Intan hendak ke Bidor.

Inikan pula pergi-balik meredah hutan, siap berkebun dalam tempoh lima jam. Hendak kata naik kuda, setahu Rasyid Keramat Kuala Bidor tidak memiliki apa-apa bentuk tunggangan. Maklumlah orang miskin hidup sehelai sepinggang, lembu pun tak mampu beli inikan lagi kuda... Eh... Entah-entah hamba Allah ini naik harimau kot? Sebab pernah orang menyebut, beliau ada membela seekor harimau yang tempang satu kakinya

dikenali sebagai harimau tepok...





Keramat Kuala Bidor juga suka menjala ikan awal pagi dan menghadiahkan tangkapannya kepada penduduk kampung tanpa diketahui. Selesai menjala, beliau pun meletakkan ikan di pintu setiap rumah sebelum Subuh.

Buka sahaja pintu terus dapat ikan percuma. Tetapi tidak tahu siapa yang beri. Beliau cuma mengambil

seekor dua untuk makanannya dan isteri.



Memang hidup hamba Allah ini ringkas. Kain bersih pun ada sehelai sahaja dikongsi suami isteri. Itulah yang digunakan untuk solat bergilir tetapi hidup mereka tetap berseri...Nenek kata kalau beliau mahu hidup senang goyang kaki sudah lama boleh kerana beliau telah dikurniakan banyak kelebihan semulajadi. Tetapi Keramat Kuala Bidor bukan jenis manusia yang cintakan kekayaan dan harta benda malah apa-apa bentuk pun kemewahan dunia. Pernah terjadi peristiwa Keramat Kuala Bidor terjumpa sebuah takar penuh emas yang nilainya mahu berjuta-juta Dolar.



Selalunya orang kalau terjumpa harta karun sebegini mesti terus lupa diri. Maklumlah, harta percuma...

Malah kebanyakan orang sanggup berbunuh-bunuhan untuk mencari harta dan kekayaan.Tetapi beliau tahu itu hanyalah dugaan Allah semata-mata untuk menguji hati hambaNya samada terpengaruh dengan harta benda ataupun tidak. Maka Keramat Kuala Bidor buat tidak nampak dan terus meninggalkan takar itu.



Tahu tidak apa yang terjadi seterusnya? Takar itu cuba mengekorinya pula! “Ya ke ni nenek?” tanya Rasyid meminta kepastian.“A’a lah... Kamu tak percaya ke?”

nendanya bertanya kembali. Pada mulanya, Keramat Kuala Bidor cuma berjalan seperti biasa.



Setakat hendak meninggalkan tempat itu dan kembali ke rumahnya. Tetapi takar itu pula boleh mengensot-ensotkan diri mengikutinya. (Macam kerbau pendek tidak berkaki?) Bila Keramat Kuala Bidor melangkah lebih laju, pandai pula ia bergolek mengejar (macam ba alif ba ya golek siap ada apel kat mulut?). Hamba Allah inipun melarikan diri. Takar itu pula memecut sekali! Sampai sahaja ke kampung, beliau terus melompat masuk ke dalam masjid.



Takar itu cuba melompat sama tetapi jatuh terlanggar tangga. (Yalah, ia bukannya ada kaki...) Bersepah keluarlah kepingan-kepingan emas di dalamnya, terus dikutip orang-orang sekeliling. Tetapi seperti biasa, Keramat Kuala Bidor buat tidak tahu, macam tidak ada apa-apa yang berlaku...



Nenek kata ada orang-orang dulu menanam takar berisi emas di tempat tertentu. Sampai sekarang masih ada pihak yang cuba mencari takar itu. Tetapi menurut khabarnya ia dijaga jin ganas yang hauskan setempayan darah anak dara. Sebab itu nenek tidak suka bercerita kepada sesiapa. Katanya ada pihak yang cuba mengorek cerita-cerita lama daripadanya tetapi beliau malas hendak menjawab. Cerita pun sedikit sahaja kerana ramai yang ingin tahu untuk mencari harta ataupun bukti demi menagih pangkat.



Sedangkan mereka sepatutnya tidak hairan dengan semua ini. Tetapi nenek sanggup bercerita kepada Rasyid kerana tahu cucundanya itu cuma dahagakan jawaban, tidak gilakan pangkat ataupun harta. Tahu anak muda ini mahukan penyelesaian yang dapat memberikannya istirehat setelah bertahun tak henti berkelana...



Dalam suatu peristiwa pula, seperti biasa Keramat Kuala Bidor pergi menjala ikan di Sungai Perak tetapi apabila beliau menarik jalanya, yang sangkut cuma seekor anak buaya. Hamba Allah yang penyayang ini tidak membunuh mahu pun membuang anak buaya yang terluka itu.



Malah beliau merawatnya sehingga sembuh. Buaya itupun menjadi binatang peliharaannya. Itulah buaya putih Sungai Perak yang terkenal di kalangan rakyat tempatan sana, buaya legenda yang akan muncul apabila akan berlaku apa-apa peristiwa besar yang boleh mengancam negeri itu, mungkin negara ini juga...



Kata nenek, buaya itu asalnya sebesar tapak tangan sahaja. Sekarang, ada yang kata panjangnya sampai boleh menyeberang Sungai Perak. Kalau begitu, tidak kurang 100 meter ada! Entah betul entahkan tidak..

Apapun buaya itu sebenarnya adalah buaya jadian, boleh menjelma menjadi orang... Maka itu janganlah hairan jika ia boleh membesar selebar Sungai Perak.Dalam banyak-banyak cerita nenek, Rasyid paling suka kisah Keramat Kuala Bidor hendak mengambil wuduk sebelum Subuh di tepi Sungai Perak tetapi air menjadi keras!

Ya, keras seperti batu...



Hamba Allah ini tidak peduli pun dengan peristiwa ajaib itu kerana cuma ingin mengambil wuduk untuk menunaikan solat. Lalu beliau pun menanggalkan serbannya dan meletakkannya di sisi. Kemudian melangkah ke atas air yang keras tadi menuju ke tengah untuk mencari air yang boleh dibuat wuduk.

Tetapi air sungai masih lagi keras, tidak ada yang boleh digunakan...



“Kira air itu beku macam aiskah nenek?” anak muda itu memotong. Bertanya macam budak-budak. Nak manja dengan nenda agaknya...“Tak juga,” jawab nenek.



“ Nak kata macam ais, air batukan sejuk? Cakap air keras aje cukuplah, macam simen atau batulah agaknya...



”Maka terpaksalah Keramat Kuala Bidor berjalan merata di atas sungai demi mencari air yang boleh digunakan untuk dibuat berwuduk. Tidak ada juga air yang cair.

(Pelik bunyinya bukan?) Harus melangkah lebih jauh lagi ke tengah Sungai Perak yang luas...Entah mengapa, ketika berada di tengah, tiba-tiba air menjadi cair.



Keramat Kuala Bidor pun terjatuh ke dalam sungai lalu berenang ke tebing. Naik ke darat membetulkan pakaian kemudian mengambil wuduk seperti biasa, seolah-olah tidak ada perkara pelik yang berlaku. Tak terfikir pun mengapa air sungai boleh menjadi keras, tidak peduli langsung pakaiannya basah.Selesai itu, beliau menghulurkan tangan untuk mengambil balik serbannya yang diletakkan di sisi tadi.



Tengok-tengok, serban itu pula hilang, ghaib entah ke mana. Aitt? Apa pula ini? Beliau pun mula mencari-cari dalam kegelapan awal pagi... “Rupa-rupanya serbannya ada nun jauh di atas pokok kelapa, tersangkut di celah pelepah daun pokok,” beritahu nenek.Tidak tahulah bagaimana beliau boleh nampak serban atas pokok dalam kesamaran sebelum Subuh itu. Kira magic juga itu, fikir Rasyid.Kata nenek, rupa-rupanya malam itu malam Lailatul Qadar yang penuh keberkatan.



Pokok kelapa itu sedang sujud menyembah bumi semasa Keramat Kuala Bidor meletakkan serbannya sebelum ia naik tegak kembali... Tanpa banyak cerita, beliau pun memanjat pokok kelapa itu dan mengambil serbannya.

Kemudian balik ke rumah menunaikan solat seperti biasa...



Banyak perkara pelik dan karamah berlaku kepada hamba Allah ini tetapi beliau tetap tidak hairan terhadap semua ini. Mungkin kerana menganggap segala yang berlaku adalah remeh belaka, cuma ujian Allah SWT untuk melihat samada hambaNya itu terpesona ataupun tidak.



Seperti dinyatakan dalam sebuah Hadis Qudsi, firman Allah SWT yang dipaparkan dalam sebuah kitab Tasawuf:

“Hai hambaku, bila kamu ingin masuk ke Haramil Ku (Haramil Qudsiyah), maka kamu jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana alam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim, alam Malakut syaitan bagi orang Arif, alam Jabarut syaitan bagi orang-orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah.” Nenek pun tidak tahu siapakah sebenarnya Keramat Kuala Bidor, siapakah nama sebenar beliau, apakah asal-usulnya secara terperinci...



Atau mungkin nenek sengaja tidak mahu beritahu? Sahaja hendak bagi suspense? Suruh Rasyid ambil inisiatif mengkaji sendiri? Nenek setakat memberi satu petunjuk... Katanya beliau keturunan orang baik-baik.





Awal tahun 2003, selepas lebih setahun mencari dan mengembara lagi, barulah dia faham maksud nenek.

Mengapa beliau menyebut Keramat Kuala Bidor berasal dari keturunan orang baik-baik, dan siapakah orang baik-baik yang dimaksudkan...



Rasyid juga dapat tahu hamba Allah ini berasal daripada sebuah keSultanan purba yang telah wujud 400 tahun lebih dahulu daripada Samudera Pasai dan 600 tahun sebelum Melaka iaitu Perlak. Pencarian ini telah memperkenalkannya kepada sejarah keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi. Lalu terbukalah kaitannya dengan perjuangan Samudera Pasai untuk menegakkan syiar Islam di bumi Timur, perjuangan yang akan diwarisi Melaka seterusnya Aceh nanti.Lebih penting lagi, sejarah penubuhan Perlak berkait pula dengan pergolakan empayar Islam di Timur Tengah melibatkan kerajaan-kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah.



Dari sinilah, Rasyid mula mengenali siapakah itu Imam Ja’afar Al-Sadiq yang sangat diagung-agungkan pengikut Syiah, juga tokoh-tokoh lama Islam seperti Muhammad Nafs Al-Zakiyah yang pernah mewarnai persada politik Islam di Baghdad.Lalu anak muda ini dibawa menelusuri perjuangan anak cucu Rasulullah SAW, para Ahlul Bait yang penuh ranjau dan duri, lebih-lebih lagi kisah suka-duka keturunan cucu sulung baginda iaitu Saidina Hassan, kisah perjuangan yang entah mengapa, banyak digelapkan sejarah lalu hilang ditelan zaman. Dan sekarang Rasyid mahu ia didedahkan kerana pemuda ini percaya ia berkaitan dengan kesejahteraan umat Islam juga... "

6 komentar:

  1. Nakhoda Hitam itu sebenar ialah Laksamana Raja Mahkota nakhoda hitam atau dalam bahasa bugisnya La Madukelleng.


    rujukan dari http://www.keriswarisan.com/live/user/gallery/view/name_Daeng_Nurjilisan/id_2090/title_silsilah-daeng-selili-pengikut-setia-raja-makhota/

    BalasHapus
  2. Siapakah nakhoda hitam/panglima huta dan itam rao diteluk intan

    BalasHapus
  3. Lamaddu Kelleng ertinya PERPISAHAN.Saya Ismail Bin Baharum Dari keturunan Laksamana Tok Janggut bin Tok Rehab bin Daeng Hassanah bin Sultan Aladdin Bugis-Aceh.

    BalasHapus
  4. Laksamana Daeng Hassanah Nokhoda Hiram Keramat Kuala Bidor adalah orang Yang Terkaya Di Perak masa dahulu,Kerana mudah mendapat Emas Setiap pagi selepas solat Suboh.Dia banyak bersedekah dengan Emas kepada penduduk Dan pendatang Di Perak ketika ITU.sehingga staff Istana Di .bayar Haji dengan Emas.Berkat
    Dia didampingni Jin Serban Hijau pembawa Emas Setiap pagi setelah solat Suboh.Daeng Hassanah hilang sewaktu wuduk Maghrib Di Sungai Kuala Bidor.Anak anaknya Yang Sama ambil wuduk hairan lemans pergi Ayahanda.Malamnya isteri isteri Dan anak anaknya mendapat mimpi Bahasa Daeng Hassanah breada Di Alam Chain sehingga sehingga sekarang.Begitulah Yang saya tahu kisah MNnds Saya

    BalasHapus
    Balasan
    1. Begitulah CERITA tentang Laksamana Daeng Hassanah Ninda kami

      Hapus
  5. Deang Hassanah bayar G aji
    staff Istana ketika dulu dengan Emas .Dia mudah mendapat Emas.

    BalasHapus