Minggu, 16 Mei 2010

DARI LUMUT KE BUKIT CHANDAN

Rupa-rupanya, ramai juga yang terpaksa menunggu di luar. Di samping dua buah bas kerajaan Perak yang datang dari Teluk Intan, ada sebuah lagi membawa waris-waris dari sekitar Sitiawan, Manjung dan Lumut… Ada pula beberapa kereta lain, sesetengah milik persatuan radio utara dan badan media lain yang akan turut serta dalam konvoi ke Bukit Chandan.



Sejam kemudian, kami mendapat berita, acara menyambut jenazah di pengkalan TLDM sudah pun selesai. Kami pun bersedia menaiki kenderaan masing-masing… Tidak lama kemudian, kedengaranlah bunyi siren polis pengiring, diikuti van jenazah, kereta-kereta VVIP (termasuk kereta Raja di Hilir, Raja Muda tidak mengikuti rombongan ini), kereta-kereta berpelekat VIP termasuk kereta yang penulis “terlepas” tadi… Kemudian baru para “penunggu” di pekan Lumut ikut sama di belakang.



Penulis menaiki bas kerajaan yang paling belakang antara tiga yang disebut tadi. Ingatkan itulah kenderaan terakhir dalam rombongan ini, rupanya ada banyak lagi di belakang… Rombongan yang disertai tidak kurang 30 kenderaan ini (setakat terlihat dek mata

kasar) panjangnya hampir sebatu! Nasib baiklah selain ada polis-polis pengiring, pekhidmatan polis trafik telah diatur sepanjang jalan untuk memastikan segalanya bergerak lancar.



Kami meninggalkan Lumut sekitar jam 10.15 pagi, lalu di Sitiawan kemudian terus ke jalan lama menghala ke Kuala Kangsar. Walaupun ada jalanraya lain lebih elok dan lebih laju dengan menghala ke Ipoh (orang sini panggil highway), konvoi memilih untuk mengambil jalan yang lebih berliku yang akan melalui Kampung Kota di Beruas.



Walaupun tidak ada sesiapa menceritakan sebabnya, penulis faham rahsia di sebalik pemilihan jalan ini kerana sudah lama mengkaji asal-usul keluarga Laksamana yang mempunyai kaitan dengan keluarga diraja Aceh, Samudera-Pasai dan Perlak, selain keluarga diraja Perak sendiri yang memiliki susur-galur keSultanan Melayu Melaka. Setakat boleh diceritakan, jalan yang dilalui berkait rapat dengan sirah perjalanan hidup Sultan Malikul Mansur, pewaris kerajaan Samudera yang dibuang negeri akibat mengambil perempuan Istana Pasai yang dirajai kekandanya Sultan Malikul Mahmud. Mengikut kitab Hikayat Raja-raja Pasai, Malikul Mansur dan Malikul Mahmud adalah cucu Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai yang dikatakan mangkat tahun 1297 Masihi, lebih 100 tahun sebelum nama Sultan Iskandar Shah Melaka yang dipanggil Barat sebagai Parameswara dikenali.



Malikul Mahmud murka lalu mencari jalan menangkap dan menghukum adindanya.



Ketika dalam buangan itulah, cerita lama menyebut, Sultan Malikul Mansur telah sampai ke daerah Manjung lalu berehat di bawah sebatang pokok. Nama kerajaan Beruas diambil daripada nama pohon itu, sejenis pokok manggis hutan.



Walaupun cerita lama juga menyebut, lokasi asal pusat pemerintahan Beruas itu terletak lebih jauh ke laut, lebih tepat di sekitar Pengkalan Baru, 40km ke Barat Kampung Kota, kampung itu lebih dikenali ramai sebagi pusat kerajaan Beruas kerana di sana terdapat kawasan permakaman lama dengan kuburannya ditanda batu nesan jenis Aceh dan dikenali sebagi Makam Raja-raja Beruas.



Setelah melepasi Kampung Kota dan pekan Beruas, rombongan menghala Timur ke Ipoh sebelum menukar haluan ke Utara di Simpang Tiga untuk menuju ke Manong seterusnya Kuala Kangsar. Setengah jam kemudian, kami pun sampai ke kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan… Beratus, mungkin beribu hadirin serta rakyat yang berminat untuk melihat sendiri upacara yang julung-kali diadakan ini telah sedia menunggu di perkarangan makam juga di Masjid Ubudiyah di sebelah.



BERSEMADILAH KEMBALI NENDA DENGAN TENANG, HASRAT NENDA KEMBALI KE TANAH-AIR SUDAH TERCAPAI Sebaik sahaja turun dari bas, penulis dapat melihat pelajar-pelajar sekolah berbaju Melayu lengkap beratur sedia sepanjang jalan menyambut kedatangan jenazah dalam keadaan cuaca cantik terang-benderang. Jasad Laksamana Muhammad Amin dalam keranda diselaputi Jalur Gemilang pula telah melepasi pintu masuk kawasan permakaman, diangkat anggota tentera laut Malaysia dan dibawa penuh adat-istiadat pahlawan.



Dalam pada itu, kedengaran bisik-bisik orang kebanyakan tertanya-tanya, kenapa pula jasad Laksamana disemadikan di makam diraja… Bukankah Laksamana cuma bangsawan biasa sahaja? Mengapa dikebumikan bersama raja-raja? Bukankah keluarga Laksamana memiliki kawasan pemakaman sendiri di Kampung Batak Rabit, Teluk Intan? Mengapa perlu dibawa jauh ke sini?



Ah… Penulis hanya tersenyum sendirian… Jika sahaja mereka tahu susur-galur sebenar keluarga Laksamana dan asal-usul kami…



Setakat yang boleh dikaji umum, hubungan darah Laksamana Muhammad Amin dengan keluarga diraja adalah melalui perkahwinan Sultan ke 23 Perak, Sultan Jaafar (memerintah 1857-1865) dengan Wan Mahtra, anak Laksamana Wan Abdul Rahman yang pernah menjadi isteri Laksamana Pandak Ibrahim. Dari perkahwinan ini terbitlah Sultan Abdullah yang turut dibuang ke Pulau Seychelles.



Wan Mahtra adalah saudara dua pupu bapa Laksamana Muhammad Amin iaitu Abdul Wakap. Maka secara rasminya, Sultan dan Laksamana adalah saudara tiga pupu. Siapa pula yang tahu salasilah rahsia yang digelapkan, salasilah tertentu yang boleh membuktikan Sultan dan Laksamana adalah sepupu di pihak lelaki, malah Laksamana Raja Mahkota dahulukala boleh bertakhta sepertimana adatnya di Aceh? Ah… Biarkan sahaja ia terus menjadi rahsia… Akan ada pihak yang tidak senang dengan kenyataan ini.



Dalam keramaian suasana sambutan jenazah itu, di sebalik rasa sebak berbaur bangga melihat jenazah nenda diusung penuh hormat dan istiadat, penulis cuba mencari sudut paling sesuai dalam setiap gerakan untuk merakamkan upacara dengan kamera digital… Bukan penulis seorang sahaja mencari berita, tidak kurang 20 orang yang boleh dikenali sebagai wartawan atau jurugambar profesyional turut sama berebut sudut menarik... Belum dicampur waris, jemputan atau pengunjung lain yang ingin merakam cerita. Penat!

Bukan senang mendapat sudut baik di celah longgokan manusia.



Penulis juga dibelenggu sedikit dilema, antara tugas sebagai perakam cerita berbanding tanggungjawab dan etika sebagai seorang anak-cucu… Apakah perlu terkejar-kejar mencari sudut di celah keramaian orang atau duduk terpaku di satu sudut, menghayati majlis dengan penuh tawadhuk? Akhirnya ikut sahaja apa yang tercetus di hati pada satu-satu ketika, bila teringat tugas, boleh menyelinap sehingga masuk ke celah ketiak orang, bila teringat diri sebagai anak-cucu terus duduk diam tunduk ke bumi menahan sebak sambil menghadiahkan Al-Fatihah dan Salawat.



Dalam keadaan itulah penulis berpusing-pusing di kemah VVIP tanpa menghiraukan pandangan orang ramai baik Raja di Hilir Raja Jaafar, Menteri Besar Datuk Tajul Rosli, Laksamana Mohd Amin Shukeri, orang-orang istana dan ramai lagi kenamaan…



Akhirnya Alhamdulillah, nenda selamat disemadikan dan cucunda juga sempat menabur bunga di pusara dan menyiram air mawar. Syukur juga wanita kesayangan penulis dapat menghadirkan diri untuk turut memberi penghormatan. Tapi dalam kesibukan melayan orang dan keadaan itulah, penulis tertinggal rombongan, lalu tidak dapat menghadiri majlis pengkebumian Ngah Ibrahim di Matang.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar