Minggu, 16 Mei 2010

PENGEMBALIAN JASAD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN KE PERAK:

CATATAN PERJALANAN SEORANG WARIS Oleh Radzi Sapiee (bekas wartawan The New Straits Times, penulis buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti”) Ketika lembaran suratkhabar tempatan hangat memperkatakan akan kembalinya jasad dua orang pahlawan Perak yang dibuang negeri semasa pemerintahan Inggeris, seorang waris muda yang baru mengenali kaitan peribadi dengan kedua-dua pahlawan itu terfikir apakah ada makna tersirat di sebalik peristiwa yang julung-kali diadakan di Malaysia malah mana-mana pun di dunia moden ini?



Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan menantunya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim adalah dua nama besar Perak yang dibuang negeri akibat memberontak melawan Inggeris tahun 1870an. Mereka berserta Sultan Perak ke 26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan Shahbandar Uda Ma’amor (juga menantu Laksamana) telah diasingkan ke Pulau Seychelles di perairan Afrika (dipanggil Pulau Sisek dalam cerita orang-orang tua Melayu) tahun

1877 untuk memadamkan api pemberontakan orang Melayu Perak yang menyala akibat ketidak-adilan Perjanjian Pangkor 1874.



Perjanjian itu timbul akibat kecelaruan iklim sosio-politik Perak. Tahun-tahun sebelumnya menyaksikan negeri Melayu itu kelam-kabut dilanda Perang Perak yang melibatkan pelombong-pelombong Cina, kumpulan-kumpulan gangster Ghee Hin dan Hai San serta sekutu-sekutu Melayu mereka lalu mengorbankan banyak nyawa. Pada masa yang sama, penggiliran takhta Perak turut celaru apabila Raja Ismail yang berketurunan Siak diangkat menjadi Sultan. Timbul pula sengketa tiga segi bersaudara antara Raja Ismail yang memiliki titisan diraja Perak sebelah ibu dengan Sultan Abdullah yang semasa itu berjawatan Raja Muda serta Raja Yusuf ibni Sultan Abdullah Muhammad Shah I, seorang lagi waris takhta yang merasakan dirinya tersisih.



Suasana kacau-bilau ini memberi peluang kepada penjajah Inggeris menyucuk jarum demi jarum sehingga terbit Perjanjian Pangkor 1874 yang menyaksikan Raja Abdullah diangkat menjadi Sultan dan Raja Ismail diturunkan menjadi Sultan Muda. Sambil itu, buat pertama kali dalam sejarah tanah-air, sebuah negeri Melayu terpaksa menerima seorang Residen Inggeris sebagai “penasihat” yang ternyata bakal menjadi penentu sebenar hala-tuju pentadbiran negeri. Residen pertama itulah manusia bongkak dan angkuh yang dikenali sebagai J.W.W. Birch, birokrat Inggeris biadap yang melanggar hampir setiap sensitiviti orang Melayu sehingga dia dibunuh orang-orang Datuk Maharajalela tahun 1875.



Susulan peristiwa pembunuhan ini menyaksikan Perak berperang dengan Inggeris sebelum ditundukkan dengan penuh kekerasan. Datuk Maharajela Pandak Lam, bapa mertuanya Pandak Endut, Datuk Sagor (Seri Agar Diraja) Ngah Kamdin, Siputum serta pengikut mereka dihukum gantung sampai mati sedangkan Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim dibuang ke Pulau Seychelles.



Selepas beberapa lama hidup dalam buangan, Sultan Abdullah sempat kembali ke Perak selepas menerima pengampuan Inggeris lalu mangkat dan disemadikan di kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tahun 1922. Malangnya, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim tidak dibenarkan kembali kerana pengaruh mereka di kalangan orang Melayu masih ditakuti Inggeris.

Sebaliknya mereka diasingkan ke Sarawak, kemudian Singapura sebelum meninggal dunia dan dimakamkan di pulau itu.



Ketika dada-dada akbar tempatan sibuk memperkatakan proses pengembalian kembali jasad Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim ke Perak (tempat persemadian akhir Uda Ma’amor di Singapura tidak ditemui), penulis baru sahaja dua bulan mengenali diri sebagai generasi ke-lima keturunan Laksamana itu. Jika empat tahun sebelumnya banyak dihabiskan untuk mengkaji sejarah serta susur-galur keturunan sehingga 1,400 tahun terdahulu, baru kebelakangan itu, penulis tergerak untuk menyusun kembali salasilah keluarga terdekat sehingga nyatalah kaitan peribadi dengan pahlawan tersebut.



Sampai satu ketika, penulis yang pernah menziarahi makam-makam lama berkaitan keluarga hampir seluruh tanah-air telah tergerak untuk mencari di manakah pula Laksamana Muhammad Amin disemadikan. Baru penulis sedar Laksamana dimakamkan di Singapura, lalu timbul pula keluhan bagaimana hendak ke sana dalam keadaan kekurangan belanja dan sudah lebih 20 tahun tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau itu.



Kebetulan hari itu juga muncul artikel tulisan Dr Talib Samat bertajuk “Dua Pahlawan kembali ke Perak”

dalam Mingguan Malaysia 27 Ogos 2006 menyatakan jasad Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim akan dikembalikan ke tanah-air penuh istiadat 9 September.

Lebih menarik, jasad mereka akan di bawa dari selatan tanah-air menaiki kapal tentera laut Malaysia bernama KD Laksamana Muhammad Amin! Dan Laksamana akan disemadikan di kawasan permakaman diraja, sekitar 8 meter sahaja daripada makam Sultan Abdullah yang mengikut salasilah rasmi adalah saudara tiga pupu beliau.



Penulis yang sangat teruja terus tergerak menghubungi seorang sepupu kepada bapa yang baru sahaja seminggu dikenali kembali setelah hampir 30 tahun tidak bertemu… Fikirnya, hendak memberitahu akan peristiwa itu tetapi rupanya bapa saudara itu telah lebih dahulu mengetahui. Malah beliau menyatakan waris-waris telah dijemput menghadiri majlis penuh-istiadat lalu mengajak penulis mendaftarkan diri.



“Dua buah bas kerajaan telah disediakan untuk mengangkut keluarga dan kaum kerabat dari Teluk Intan ke Lumut di mana jenazah akan diturunkan dari kapal ke pengkalan tentera laut sebelum dibawa ke Bukit Chandan,” dia memberitahu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar